‘Saya berjaya lakukan’, YB baharu Mahkota ziarah kubur ayah esok kongsi kemenangan

‘Saya berjaya lakukan’, YB baharu Mahkota ziarah kubur ayah esok kongsi kemenangan

Syed Hussien Syed Abdullah daripada BN memperoleh 27,995 undi menewaskan calon PN Haizan Jaafar yang hanya mendapat 7,347 undi.

Syed Hussien Syed Abdullah bersama ibu dan adik beradiknya selepas menang PRK DUN Mahkota.
KLUANG:
Selepas dinobatkan Adun Mahkota baharu, Syed Hussien Syed Abdullah mahu meraikannya bersama insan tersayang dengan menziarahi kubur bapanya yang meninggal dunia pada 10 Sept lalu, empat hari sebelum penamaan calon.

Bercakap kepada pemberita, ketua Pemuda Umno Kluang mahu ‘memberitahu’ bapanya Syed Abdullah Syed Abdul Hamid kemenangan manis dikecapinya.

“Hari pertama sebagai wakil rakyat esok, saya akan menziarah kubur arwah ayah di Tanah Perkuburan Kampung Melayu pada 7.30 pagi.

“Saya nak bagitahu abah, saya berjaya hasil kerjasama pasukan kami,” katanya di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim selepas diumumkan menang PRK DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi.

Syed Hussien daripada Barisan Nasional memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Haizan Jaafar yang hanya mendapat 7,347 undi.

Sementara itu, Ketua Pengarah PRK Mahkota BN, Onn Hafiz Ghazi, berkata kemenangan bergaya gabungan tersebut bukan hasil kerja solo mana-mana parti sebaliknya usaha jentera perpaduan yang bertungkus-lumus turun ke lapangan.

“Kita tengok bila kita bekerja sebagai satu pasukan, bekerja dalam satu saf berganding bahu, keputusannya amat memberangsangkan.

“Ini bukan mana-mana usaha solo, ini kerjasama pasukan (perpaduan) dan kita dapat buktikan di sini sokongan daripada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.