
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sejak Anwar memegang tampuk pemerintahan tiada cubaan menjatuhkan kerajaan atau pertukaran kepimpinan yang dilihat memberi keyakinan kepada pelabur untuk membawa pelaburan ke Malaysia.

“Jadi bila mereka bawa pelaburan ke dalam negara, akan memberi kekuatan kepada ringgit. Inilah yang memberi kekuatan kepada ringgit tu sendiri.
“Sebab kita lihat kerajaan akan kekal sehingga PRU16. Sekurang-kurangnya kita nampak ringgit kekal mengukuh dari tahun ini hingga tahun depan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata nilai ringgit meningkat dengan kukuh berbanding dolar AS sejak awal Julai, susulan pergerakan kadar faedah yang lebih jelas di negara maju, terutama AS.
Katanya, perbezaan kadar faedah yang lebih mengecil dengan AS akan menyokong aliran masuk portfolio, terutamanya memandangkan prospek ekonomi Malaysia yang positif.
Ringgit naik kepada 4.1235/1320 berbanding 4.1430/1485 pada akhir urus niaga Khamis, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Malaya, Nazari Ismail, berkata dalam keadaan ringgit mengukuh kerajaan perlu membuktikan mereka serius mengawal perbelanjaan dan kewangan negara.
“Kalau defisit terlampau besar dan hutang semakin banyak sudah tentu ini akan membimbangkan pasaran kewangan dan beri kesan negatif kepada nilai ringgit,” katanya.
Katanya, pengukuhan ringgit akan memberi kesan langsung kepada rakyat yang ingin ke luar negara kerana kos perbelanjaan lebih rendah.
“Tapi saya nasihat mereka tidak perlu berbelanja tanpa sebab semata-mata kerana ringgit semakin kuat kerana perkara ini boleh berubah di masa akan datang. Baik simpan duit untuk keperluan masa hadapan,” katanya.