
Justeru, pengarah jentera Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota itu berkata pendedahan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard hanya mahukan penjelasan daripada Syed Hussien mengenai laporan kes jenayah itu.
“Apa yang didedahkan oleh Chegubard itu berdasarkan salinan laporan polis yang diterima dan kita serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk mengesahkan perkara tersebut..
“Kita tak menyerang peribadi (calon), kita tak membuat sebarang hukuman, kita tak buat sebarang tuduhan… kita hanya melaporkan apa yang dilaporkan berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh satu pihak,” katanya selepas ceramah kempen PN di Taman Sri Kluang, semalam.
Chegubard dalam satu ceramah di kempen Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota kelmarin, meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan ketua Pemuda Umno Kluang itu pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul pada 2008.
Beliau juga menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.
Bagaimanapun, polis mengesahkan Syed Hussien tidak mempunyai rekod jenayah.
Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata siasatan membabitkan Syed Hussien telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya yang memutuskan tiada tindakan lanjut.
Sebelum itu, Pengerusi BN Zahid Hamidi menjelaskan Syed Hussien telah mempertahankan orang buta yang telah diganggu sekumpulan individu dalam kes berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika Syed Hussien berusia dalam lingkungan 20-an dan tiada pertuduhan dikenakan ke atasnya kerana tiada kes.
Syed Hussien yang berdepan calon PN Mohd Haizan Jaafar pada PRK Sabtu ini turut menafikan dakwaan itu dan mempertimbang tindakan undang-undang terhadap Chegubard.
Beliau berkata tindakan Chegubard itu menunjukkan PN ketandusan modal berkempen dan mengamalkan politik tidak matang.