
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Saifuddin Abdullah sebaliknya berkata peraturan dan syarat-syarat kelayakan bertanding telah termaktub dalam Perlembagaan parti itu.
“Di samping itu, Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu memberi kuasa kepada MPT untuk memberikan kelonggaran yang adil serta konsisten kepada semua yang ingin bertanding dalam pemilihan kali ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan sebuah media yang mendakwa amalan berat sebelah dan kronisme berlaku apabila ketetapan dalam Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu tidak dikuatkuasakan secara adil bagi pemilihan peringkat MPT dan naib presiden.
Laporan itu menyebut, ketetapan berhubung Perkara 14.14 itu hanya dibuat pada mesyuarat MPT baru-baru ini selepas lebih 90 borang permohonan bagi pencalonan MPT dan lapan pencalonan naib presiden.
Sebagai rekod, Presiden Muhyiddin Yassin pada 13 Jul lau mengumumkan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dicadangkan memegang jawatan timbalan presiden, manakala Azmin Ali menggantikan kedudukan sedia ada Hamzah, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi.
Mengikut rundingan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata bagi jawatan presiden, timbalan Presiden serta naib-naib Presiden, MPT telah membuat kelonggaran, iaitu calon yang hendak menawarkan diri perlu pernah memegang jawatan MPT selama sepenggal lengkap, berbanding syarat asal iaitu dua penggal lengkap.
“Begitu juga dengan pertandingan untuk mengisi jawatan MPT, di mana syarat tempoh keahlian dikurangkan daripada tiga tahun kepada hanya dua tahun. Ini sekali gus menyuburkan lagi proses demokrasi dalam parti,” katanya.