Wan Saiful didakwa ‘perangkap’ beberapa ketua bahagian

Wan Saiful didakwa ‘perangkap’ beberapa ketua bahagian

Pemimpin Bersatu Rafiq Abdullah dakwa ketua bahagian diberitahu sidang media hanya berkait SD, bukan kritik Azmin Ali.

Mohd Rafiq Mohd Abdullah n Wan Saiful Wan Jan
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Mohd Abdullah persoal dakwaan Wan Saiful Wan Jan berhubung kandungan SD.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Mohd Abdullah mendakwa Wan Saiful Wan Jan telah ‘memerangkap’ beberapa ketua bahagian parti itu untuk hadir ke sidang media semalam.

Menurut Rafiq, mereka diberitahu sidang media itu hanya berkaitan akuan berkanun (SD), maka terkejut dengan serangan terhadap Setiausaha Agung Azmin Ali.

“Rata-rata ketua-ketua bahagian yang hadir semalam saya telefon. Mereka terkejut kerana mereka hadir sebab Wan Saiful kata dekat mereka dia nak buat penjelasan tentang SD. Sebab itu dia orang hadir… kata nak cerita pasal SD. Tiba-tiba menyerang Azmin secara peribadi. Apa ini,” katanya kepada FMT.

Rafiq berkata demikian ketika ditanya mengenai sidang media Wan Saiful, diadakan susulan ahli majlis pimpinan tertinggi itu dipanggil menghadap lembaga disiplin parti kerana didakwa mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Presiden Muhyiddin Yassin. Pertemuan itu katanya ditangguhkan.

Pada sidang media itu, Wan Saiful mendakwa SD yang dikumpul menjelang perhimpunan agung tahunan (PAT) Bersatu 9 Sept lepas dan ditandatangani beliau dan 119 ketua bahagian menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam PAT kerana sensitif.

Beliau mendakwa SD yang mereka tandatangan itu tidak sama dengan suatu SD yang tular, meletakkan syarat ‘presiden mesti terus ke depan’, dan ‘tiada satu ayat pun menolak presiden (Muhyiddin)’.

Wan Saiful juga mendakwa dua ketua bahagian iaitu Suhaimi Ghazali dan Shukri Mustafa diugut tidak akan dapat watikah calon pilihan raya jika tidak menarik balik SD yang didakwa mahu menjatuhkan Muhyiddin, ketika perjumpaan bersama Azmin pada 19 Ogos.

Wan Saiful juga mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai, kerana skandal moral tidak boleh diterima dalam parti itu.

Mengulas lanjut, Rafiq mendakwa Wan Saiful berbohong berkaitan kandungan SD yang diberikan kepada ketua-ketua bahagian, kononnya menyokong kepimpinan Muhyiddin.

“Kalau SD menyokong presiden, kenapa 120 ketua bahagian sahaja yang tanda tangan? Dia juga tak hantar SD itu pada saya dan Adun-adun Selangor.

“Sekiranya kamu buat SD untuk menyokong presiden, tak payah buat pun kerana kita memang sokong presiden,” katanya.

Berhubung Azmin, Rafiq berkata tindakan Wan Saiful melampaui batas dan mengaibkan seorang pemimpin tanpa bukti kukuh, sedangkan polis dan peguam negara telah mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu.

Katanya, tindakan disiplin perlu diambil segera terhadap Wan Saiful bagi merungkai kekusutan ini.

Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan songsang di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.

Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu, mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.

Ketika PAT, Azmin mengumumkan perwakilan Bersatu sebulat suara menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 parti itu — perkembangan yang mengundang teguran daripada pemimpin PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.