
Hasil tersebut lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM36.13 bilion, kata Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin.
“Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan ia menunjukkan bahawa Jabatan Kastam berada di landasan yang tepat.
“Hasil daripada strategi yang telah kita buat kini membuahkan hasil,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Mengulas mengenai sasaran keseluruhan kutipan hasil tahun ini, beliau yakin kastam mampu mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM56 bilion.
Menurut beliau, pada tahun lalu Kastam berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion, iaitu naik 3% daripada kadar yang diunjurkan sebanyak RM53.5 bilion.
Dalam perkembangan lain, Anis Rizana berkata dalam tempoh tersebut pihaknya berjaya menyelesaikan 5,196 kes dengan nilai rampasan barangan termasuk duti dan cukai berjumlah RM1.25 bilion iaitu peningkatan 42.47% berbanding RM884.26 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Selain itu, antara kejayaan besar tahun ini ialah rampasan sebanyak 15 buah kontena dengan muatan komoditi rokok sejumlah 150.26 juta batang dan 30 tan tembakau serta 32.5 tan sisa plastik bernilai RM118.18 juta,” katanya.