Kastam rampas makanan sejuk beku tiada permit RM2.4 juta

Kastam rampas makanan sejuk beku tiada permit RM2.4 juta

Rampasan membabitkan kes pengikraran tidak benar.

Antara rampasan membabitkan dada ayam sejuk beku di Zon Perdagangan Bebas, Klang, yang diikrar sebagai sayur campuran sejuk beku dan didapati tidak mempunyai permit import. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas tiga kontena mengandungi 76,836kg makanan sejuk beku bernilai RM2.45 juta dengan anggaran cukai kira-kira RM491,327.03 dalam operasi pada Jun dan Julai lalu.

Pengarah JKDM Terengganu, Hasbollah Din, berkata rampasan pertama membabitkan dada ayam sejuk beku di Zon Perdagangan Bebas, Klang, Selangor pada 23 Jun yang diikrar sebagai sayur campuran sejuk beku dan didapati tidak mempunyai sebarang permit import.

“Kes kedua pula melibatkan rampasan isi daging itik sejuk beku yang diikrar sebagai sayur campuran sejuk beku pada 23 Julai di Terminal 1, Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor manakala kes ketiga ialah rampasan ayam sejuk beku di Pelabuhan Klang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Hasbollah berkata, ketiga-tiga kes menggunakan modus operandi pengikraran tidak benar dan disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 atau mana-mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana-mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut seksyen itu juga, individu disabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara tidak kurang tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 132(1)(a) Akta Kastam 1966 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM500,000 atau dipenjara tidak kurang tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu JKDM memerangi masalah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Setiap aduan boleh disalurkan ke talian bebas tol kastam menerusi 1-800-88-8855. Semua identiti pemberi maklumat dijamin akan dirahsiakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.