
Ketika ini, pemeriksaan dijalankan menggunakan mesin pengimbas ‘Departure Screening’ di zon berlepas selepas pemeriksaan Imigresen dan susun atur itu berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.
Kementerian Pengangkutan hari ini memaklumkan, inisiatif baharu itu akan membolehkan penumpang melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas.
“Penambahbaikan ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kastam, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
“Langkah ini tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam, sebaliknya pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuh melalui penyelarasan operasi dan pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama,” menurut kementerian dalam kenyataan.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan penambahbaikan itu dijangka menaik taraf pengalaman penumpang, mempercepat proses menaiki pesawat serta memastikan operasi KLIA T1 berjalan dengan lebih cekap, selamat dan tersusun selaras dengan amalan terbaik lapangan terbang antarabangsa.
“Bagaimanapun, sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tegas,” kata kementerian.