2 Ah Long mengaku salah bakar 3 rumah peminjam

2 Ah Long mengaku salah bakar 3 rumah peminjam

Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api sehingga merosakkan tiga rumah peminjam di Tangkak dua minggu lalu.

mahkamah muar
Mahkamah Sesyen Muar menetapkan 3 Okt depan untuk menentukan hukuman ke atas tertuduh Li Ao Chen dan Goh Poh Liang. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua lelaki yang juga Ah Long mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan melakukan khianat dengan api sehingga merosakkan tiga rumah peminjam di Tangkak dua minggu lalu.

Li Ao Chen, 30, dan Goh Poh Liang, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55 dan 52 tahun di Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya serta Taman Tiara 2 pada 6.07 pagi 14 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan 3 Okt ini untuk fakta dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh, lapor Harian Metro.

Terdahulu, polis menerima maklumat pada 14 Sept lalu memaklumkan tiga rumah dibakar individu tidak dikenali dan hasil siasatan membawa kepada penahanan sembilan lelaki, termasuk dua tertuduh disyaki terbabit kejadian itu.

Selasa lalu, semua suspek termasuk dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah dan didenda RM1,500 seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.