Tak masuk akal dakwa saya ada kuasa kawal SRC, kata Najib

Tak masuk akal dakwa saya ada kuasa kawal SRC, kata Najib

Bekas perdana menteri berkata, peranannya dalam SRC International hanya mengesahkan keputusan lembaga pengarah yang dianggap mengambil tindakan wajar terlebih dahulu.

Najib Razak berkata, tidak masuk akal untuk membayangkan kedudukannya sebagai perdana menteri memberinya kuasa untuk mengambil dan memecat pengarah SRC International, sekali gus membolehkannya mengawal lembaga pengarah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak berkata, beliau tidak memiliki sebarang kawalan ke atas pergerakan dan penggunaan RM3.6 bilion dana SRC International Sdn Bhd yang diperoleh syarikat pelaburan strategik itu dalam dua peringkat daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam saman USD1.18 bilion SRC International terhadapnya, bekas perdana menteri berusia 71 itu berkata, peranannya dalam syarikat itu hanyalah mengesahkan keputusan lembaga pengarah (BOD) yang dianggap mengambil tindakan sewajarnya terlebih dahulu.

“Merujuk tanggungjawab dan kuasa yang diberikan kepada saya dalam SRC, saya tidak mempunyai jawatan atau kuasa dalam struktur tadbir urus korporat bagi menjalankan sebarang transaksi SRC kerana ia di bawah bidang kuasa BOD dan saya tidak pernah dimaklumkan atau melakukan pengesahan bebas terhadap pengeluaran dana SRC.

“Saya juga tidak memainkan peranan dalam peristiwa berkaitan peruntukan, seterusnya kelulusan pelaburan yang didakwa dan berdasarkan jawatan saya, saya tidak memiliki obligasi fidusiari ke atas pelaburan yang dicadangkan serta dana digunakan bagi tujuan itu.

“Saya juga tidak mempunyai kuasa pengawasan atau kawalan ke atas pengeluaran dana itu,” katanya.

Sebagai menteri kewangan ketika itu, Najib adalah pemegang saham tunggal SRC International melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Menurutnya, tidak masuk akal untuk membayangkan kedudukannya sebagai perdana menteri memberinya kuasa untuk mengambil dan memecat pengarah SRC International, sekali gus membolehkannya mengawal BOD.

“Kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana pengarah biasanya terletak di tangan pemegang saham sesebuah syarikat dan apa yang saya faham tentang prinsip tadbir urus korporat, ini tidak menjejaskan tanggungjawab berkanun dan perundangan pengarah untuk bertindak demi kepentingan syarikat.

“Seperti saya nyatakan, kuasa dalam SRC dan 1MDB yang terletak di tangan perdana menteri adalah perkara biasa apabila berurusan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ini bukan bermakna GLC membabi buta mematuhi apa yang diwakilkan secara lisan sebagai arahan daripada perdana menteri atau menteri kewangan atau mana-mana orang.”

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu, termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga kepada mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat terbabit akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntutnya membayar pampasan RM42 juta atas kerugian berkenaan.

Perbicaraan di depan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.