NGO gesa inkues berhubung kematian pelatih didakwa akibat dipukul

NGO gesa inkues berhubung kematian pelatih didakwa akibat dipukul

Mayat Atif Abu Bakar didapati mempunyai 53 kesan cedera, menyebabkan keluarganya percaya dia dipukul hingga mati.

Presiden Edict M Visvanathan (tiga dari kanan), bersama Aiman Abu Bakar (kiri); ibu mangsa Shahrom Ahmad (dua dari kiri); dan Abu Bakar Ja’afar (tiga dari kiri) pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menggesa agar inkues dijalankan berhubung kematian seorang pemuda berusia 20 tahun akibat dipukul oleh individu tidak dikenali di Mersing, Johor, dua tahun lepas.

Pada sidang akhbar, Presiden NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) M Visvanathan berkata, walaupun siasatan polis dijalankan, butiran mengenai kematian Atif Abu Bakar masih tidak ditentukan.

Bapa Atif, Abu Bakar Ja’afar berkata, anaknya itu dalam keadaan ‘sihat dan ceria’ pada 17 Dis 2022, apabila meninggalkan rumah keluarganya di Rompin untuk mengikuti kursus di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing.

Bagaimanapun, katanya, beliau menerima panggilan daripada anaknya pada malam itu yang mendakwa tidak sihat dan meminta dijemput dari asrama.

Abu Bakar berkata, beliau bergegas ke Mersing pada keesokan harinya dan terserempak dengan anaknya yang tidak berbaju, ‘seolah-olah dirasuk’, di sebuah jalan berdekatan institut latihan tersebut.

Menurut Abu Bakar, Atif masuk ke dalam kereta namun kemudian keluar dan terus berjalan menuju asramanya. Bagaimanapun, seorang pengajar di institut tersebut kemudian melaporkan Atif hilang.

Usaha polis, institut tersebut dan keluarga Atif untuk mencarinya gagal.

Abang Atif, Aiman berkata, beliau dimaklumkan oleh polis pada keesokan harinya bahawa Atif ‘ditemukan meninggal dunia’ di sebuah surau, dan keluarganya diminta pergi ke Hospital Mersing untuk mengenal pasti mayat.

Bedah siasat yang dijalankan mendapati Atif meninggal dunia akibat ‘traumatic asphyxia’. Sebanyak 53 kesan kecederaan ditemui pada badannya menyebabkan keluarganya percaya dia dipukul hingga mati.

Abu Bakar berkata, polis kemudiannya memaklumkan bahawa ‘sembilan atau 10 orang’ telah ditahan berhubung kes itu, namun tiada tuduhan dikenakan terhadap mereka.

Polis juga memberitahu siasatan akan diteruskan, katanya.

Kecewa tiada perkembangan berhubung kes itu selepas dua tahun berlalu, Abu Bakar berkata, beliau membuat laporan polis pada 15 Sept lepas.

“Pada hari sama, polis mengeluarkan surat menyatakan mereka tidak akan menyiasat kes itu lebih lanjut kerana melibatkan kesalahan tidak boleh tangkap,” kata Abu Bakar.

Polis menasihatkan keluarga Atif agar merujuk kes mereka ke Mahkamah Majistret untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 108(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen itu memperuntukkan, sekiranya maklumat yang diberikan kepada pegawai polis adalah berhubung kesalahan tidak boleh tangkap, pegawai itu hendaklah menyuruh pengadu berjumpa dengan majistret.

“Polis, dalam kes ini, seolah-olah memperkecilkan kepentingan kematian Atif,” kata Visvanathan.

“Ini sangat mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku. Kami akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya jika tiada maklum balas daripada pihak berkuasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.