Kemuka butir palsu RM24,000, penjawat awam mengaku tak salah

Kemuka butir palsu RM24,000, penjawat awam mengaku tak salah

Lelaki itu berdepan empat pertuduhan kemuka dokumen palsu sedangkan tiada pembekalan dibuat.

Fazlizal Kefli Jaamat, 41, dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan sebutan semula kes pada 23 Okt. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen mempunyai butir matan palsu untuk pembekalan barangan basah, kering, dan fabrik berjumlah RM24,032.20, antara Julai hingga Disember 2022.

Fazlizal Kefli Jaamat, 41, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan.

Lelaki itu didakwa sebagai pemilik perniagaan Ftwo Jaya Enterprise telah memberikan dokumen iaitu pesanan sekolah kepada seorang ejen yang merupakan pembantu tadbir di sebuah kolej vokasional di Rembau, bertujuan memperdaya pengetua kolej terbabit, pada Julai hingga Ogos 2022.

Dokumen itu didakwa mempunyai bil matan palsu berkenaan barangan basah dan kering berjumlah RM2,205.05 dan RM3,220.45 kepada kolej tersebut, sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

Fazlizal Kefli juga didakwa melakukan kesalahan yang sama berjumlah RM4,076 pada Ogos hingga September, dan memberikan dokumen bil matan palsu bagi pembekalan barangan yang sama berjumlah RM3,183.90 dan RM2,922.80 bagi tempoh September hingga Oktober.

Tertuduh yang merupakan seorang ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah di Jempol, turut didakwa memberikan dokumen bil matan palsu berkenaan pembekalan fabrik di kolej yang sama berjumlah RM8,424 pada November hingga Disember.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan sehingga kes selesai, selain menyerahkan pasport.

Peguam Nor Amin Petra Nor Hanapiah yang mewakili Fazlizal Kefli memohon jaminan RM5,000 atas alasan tertuduh berpendapatan rendah, dan perlu menanggung enam anak berusia empat hingga 16 tahun yang masih bersekolah.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.