
Syed Shah Iqmal memfailkan notis rayuan pada 30 Ogos lalu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Norazlin Othman yang menjatuhinya hukuman berkenaan.
Menurut peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat, mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi rayuan tersebut pada 5 Nov ini.
“Ia sementara menunggu alasan penghakiman daripada Mahkamah Sesyen, maka kita akan hadir semula ke sini.
“Kita perlu baca dahulu alasan penghakiman berkenaan sebelum tindakan susulan dibuat,” katanya pada sidang media selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nadia Othman, menurut Sinar Harian.
Abu Bakar berkata, perayu dilepaskan dengan ikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin, yang mana ia merupakan prosedur biasa.
“Selepas rayuan selesai kelak, jika anak guam didapati tidak bersalah, maka dia akan dibebaskan namun sekiranya sabitan serta hukuman itu kekal, kita masih ada satu lagi peringkat iaitu di Mahkamah Rayuan.
“Saya tidak boleh dedahkan fakta kes berdasarkan arahan daripada pihak Mahkamah Tinggi.
“Jadi dalam kes ini, kita perlu ambil kira semua aspek, tak mahu ada subjudis sebab kita semua faham, mahu mengelak ketidakadilan kepada mangsa dan anak guam saya,” katanya.
Syed Shah Iqmal turut diwakili peguam Amin Othman.
Pada 30 Ogos lalu, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.
Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.