19 ahli GISBH direman 7 hari

19 ahli GISBH direman 7 hari

Mereka kemudian dibawa ke lokap IPD Shah Alam selepas prosiding reman.

gisb
Lima daripada 19 individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam untuk permohonan perintah reman. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 19 individu dan pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), termasuk ketua pegawai eksekutifnya, Nasiruddin Ali direman tujuh hari.

Sembilan belas individu, termasuk tujuh wanita berusia 25 hingga 65 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini 3 petang tadi dan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan permohonan perintah reman sehingga 25 Sept ini.

Semuanya disiasat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022.

Mereka kemudian dibawa ke lokap IPD Shah Alam selepas prosiding reman.

Media sebelum ini melaporkan 172 daripada 402 kanak-kanak diselamatkan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global disyaki dieksploitasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Seramai 159 individu membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita turut ditahan dalam Op Global 11 Sept lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, hasil saringan kesihatan terhadap mangsa mengesan lima elemen jenayah iaitu penderaan fizikal dan emosi, pengantunan seksual kanak-kanak, buruh kanak-kanak, pengabaian serta kekurangan zat makanan.

Sejak itu, empat individu dikaitkan dengan GISBH didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan, termasuk amang seksual fizikal kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.