Perlis mula banjir, mangsa di Kedah, P Pinang turut meningkat

Perlis mula banjir, mangsa di Kedah, P Pinang turut meningkat

Seramai 2,194 mangsa direkodkan di Kedah, 635 di Pulau Pinang manakala Perlis menjadi negeri terbaharu membuka pusat pemindahan sementara malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan peningkatan pagi tadi manakala Perlis menjadi negeri terbaharu dilanda banjir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan peningkatan pagi ini manakala Perlis menjadi negeri terbaharu membuka PPS apabila terdapat mangsa banjir yang dilaporkan malam tadi.

Di Kedah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,194 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 675 orang pada 5 petang semalam.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada 388 keluarga dari enam daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Pokok Sena, Kuala Muda dan Kota Setar yang dipindahkan ke 11 PPS.

“Daerah Pokok Sena paling terjejas dengan 1,000 mangsa daripada 173 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS yang mula dibuka semalam manakala di Pendang sebanyak 678 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di sebuah PPS yang turut dibuka semalam.

“Di Kubang Pasu pula sebanyak 301 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di tiga PPS yang dibuka Isnin lepas manakala 108 mangsa daripada 34 keluarga di Kulim ditempatkan di tiga PPS yang dibuka semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Kuala Muda, sejumlah 54 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan sebanyak 53 mangsa daripada 16 keluarga di Kota Setar pula ditempatkan di satu PPS yang dibuka semalam.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lapan sungai di Kedah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Selain itu, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan.

“Empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Sedim di Kampung Sedim dan Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling; Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap, Padang Terap; dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar, manakala Sungai Ketil di Kampung Baru, Baling dan Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap berada pada paras waspada.

Di Pulau Pinang, mangsa banjir meningkat kepada 635 orang pagi ini yang ditempatkan di 11 PPS berbanding 236 orang di tujuh PPS semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berkata semua mereka daripada 173 keluarga itu ditempatkan di PPS daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Di Perlis, Pengarah APM Perlis, Mohd Izaimi Md Daud, berkata hujan dalam tempoh yang lama bermula kira-kira 6 petang semalam menyebabkan dua PPS dibuka malam tadi bagi menempatkan 41 mangsa banjir daripada 13 keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.