
Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) itu menerima wang tunai RM50,000, trofi, medal dan sijil penghargaan.
Harian Metro melaporkan pemilihan Kipli berdasarkan sumbangannya dalam kegiatan dakwah silang budaya pelbagai etnik di Sarawak yang menitikberatkan soal toleransi supaya persaudaraan terus kukuh dan dipertahankan.
Anak jati Sarikei itu memulakan kerjayanya di Majlis Islam Sarawak, sebelum bertukar ke Jabatan Ketua Menteri (Sarawak) dan menjadi timbalan mufti.
Pada 1 Mac 2010, beliau dilantik mufti Sarawak, bertanggungjawab terhadap sistem sokongan dalam menyampaikan dakwah kepada etnik, selain menjaga sensitiviti agama dan adat budaya di negeri itu.
Sumbangan besarnya dalam memartabatkan nilai marhabah dan perpaduan masyarakat Madani membolehkan beliau dinobat penerima anugerah perdana itu.
Enam lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini menerima wang tunai RM30,000, medal dan sijil penghargaan.
Mereka terdiri daripada Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Aminah Zakaria, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah Ab Jamal Sakaran, pakar bidang Institut Genome dan Vaksin Malaysia Dr Khatijah Mohamad Yusoff, bekas felo kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Shaharir Mohamad Zain, Presiden Malaysian Deaf Advocacy dan Wealthy Sariah Ibrahim serta ahli perniagaan Michael Tong Wai Siong.