Tangani beza pendapat dengan adab terbaik, Zahid ingatkan umat Islam

Tangani beza pendapat dengan adab terbaik, Zahid ingatkan umat Islam

Zahid Hamidi berkata, masyarakat dan pemimpin perlu mengikuti teladan Rasulullah menonjolkan akhlak terpuji serta dicontohi, ketika Malaysia dilihat sebagai contoh.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi bersama Menteri Agama, Mohd Na’im Mokhtar menghadiri Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di Dataran Putra malam tadi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam menangani perbezaan pendapat dalam masyarakat dan organisasi dengan adab terbaik.

Beliau berkata, masyarakat dan pemimpin perlu mengikuti teladan Rasulullah yang menonjolkan akhlak terpuji serta dicontohi, lebih-lebih lagi ketika masyarakat dunia melihat Malaysia sebagai contoh.

“Maka, apa yang terbaik ialah cara kita menyampaikan risalah, cara pendakwah atau daie menyampaikan pesan, mesti berlandaskan akhlak yang baik.

“Jika ada perbezaan pendapat pun dalam kalangan kita, kedudukan kita dalam komuniti atau organisasi mesti ada adab terbaik dan adab menangani perbezaan ini ada yang berlandaskan tasawuf,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Cinta Rasul di sini, malam tadi.

Zahid menyeru rakyat ketika meraikan Maulidur Rasul untuk meningkatkan ukhwah dan melupakan perbezaan yang furuk sesama ummah.

Beliau dalam masa sama mengajak orang ramai memberikan bantuan termampu kepada rakyat Palestin.

Malam Cinta Rasul dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M yang dihadiri kira-kira 50,000 orang, dimulakan dengan solat maghrib dan isyak berjemaah.

Program itu turut diisi sesi tausiyah atau ceramah mengenai sirah kehidupan Nabi Muhammad yang disampaikan Mufti Selangor Anhar Opir, Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman, Timbalan Mufti Sabah Abdul Manap Lakariba serta ulama terkemuka Habib Ali Zainal Abidin.

Kemuncak sambutan kelahiran Nabi Muhamaad tahun ini ialah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”.

Majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.