Tuntutan bercanggah muafakat perlu dijauhi, titah Tuanku Muhriz

Tuntutan bercanggah muafakat perlu dijauhi, titah Tuanku Muhriz

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertitah ia bagi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertitah umat Islam seharusnya mengamalkan nilai jujur dan amanah dalam kehidupan seharian bermula daripada pemimpin hingga rakyat. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar semangat permuafakatan yang menjadi asas pembentukan negara merdeka dan berdaulat terus dihormati.

Baginda bertitah sebarang tuntutan dan perbuatan yang bercanggah semangat itu perlu dijauhi demi kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka, dengan rakyat menerima serta menghormati perbezaan, hidup berpadu, rukun dan damai.

“Semangat ini juga terpahat sebagai cogan kata dalam Jata Negara yang diwartakan sejak 1952 iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Aminuddin Harun.

Tuanku Muhriz bertitah nilai murni seperti kejujuran, amanah, tolong-menolong, dan saling menghormati adalah asas penting dalam membentuk masyarakat harmoni serta sejahtera, dan umat Islam seharusnya mengamalkan nilai tersebut dalam kehidupan seharian bermula daripada pemimpin hingga rakyat.

Baginda bertitah umat Islam juga wajar mengambil peluang menunjukkan keindahan, kebesaran, dan kesucian agama Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui akhlak mulia kerana Islam menekankan hubungan sesama manusia.

“Justeru, umat Islam perlu terus bersatu untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan sesama sendiri serta menanam semangat kebersamaan dengan kaum lain. Sikap saling menghormati antara kaum juga amat penting,” titah baginda.

Sementara itu, Aminuddin berkata masyarakat Islam unggul adalah masyarakat yang menghargai nasihat dan mengamalkan budaya menasihati.

“Di sinilah terletaknya kesalinghubungan peranan ulama dan umara’ (pemerintah) dalam membina tamadun bangsa yang utuh dan bermaruah. Sinergi antara ulama dan umara’ adalah tunjang kepada pembinaan negara bangsa.

“Dalam konteks Malaysia Madani, sinergi ini perlu diperkukuh, bukan dengan satu pihak memusuhi satu pihak lain, bukan juga dengan hubungan saling mencurigai tetapi melalui sikap saling menghormati, mengiktiraf peranan masing-masing dan keikhlasan untuk membina sebuah negara maju dan makmur,” katanya.

Beliau berkata, negara hanya akan makmur apabila pihak berautoriti melaksanakan dasar berteraskan hujah ilmu serta kekuatan moral, manakala golongan ilmuwan pula disokong dalam melaksanakan pelbagai kegiatan pencerahan dan pencerdasan umat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.