Jika diberi autonomi, Pemuda PAS Sabah pilih GRS ‘muafakat politik’ PRN

Jika diberi autonomi, Pemuda PAS Sabah pilih GRS ‘muafakat politik’ PRN

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Sabah Rosli Hasan berkata parti lain bersesuaian juga boleh dipertimbang melainkan DAP.

Autonomi antara kuasa dipertimbangkan untuk PAS negeri Borneo mengambil kira landskap politik berbeza berbanding Semenanjung. (Gambar Bernama)
TEMERLOH:
Pemuda PAS Sabah mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadikan rakan strategik jika parti itu diberikan autonomi memilih haluannya menjelang PRN.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Sabah Rosli Hasan, berkata ia termasuk parti-parti lain yang bersesuaian, namun enggan bekerjasama dengan DAP.

Rosli Hasan.

“Apa yang disebut timbalan presiden PAS itu kita sambut baik kalau diberi ruang autonomi kepada Borneo terutamanya apatah lagi Sabah bakal menghadapi PRN.

“Jadi, melihat situasi politik itu memang perlu ada rakan strategik untuk kita masuk bertanding. Kita PAS Sabah setakat ini politik Sabah bersifat terbuka, dengan siapa kita boleh jadi rakan strategi kecuali DAP, yang ada gabungan dengan DAP kita tak akan kerjasama,” katanya yang juga ketua Pemuda PAS Tawau kepada FMT.

Hendri Hamsah.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah, berkata pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan pusat memuktamadkan rakan kerjasama dalam PRN.

“Semua berkaitan pilihan raya, Pemuda serahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan pusat putuskan,” katanya.

Rabu lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semasa ucapan merasmikan Muktamar Pemuda, berkata, ada keperluan bagi PAS Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’, termasuk kemungkinan memberikan autonomi di dua negeri itu merancang strategi bersesuaian politik setempat.

Katanya, langkah itu diambil susulan perubahan landskap politik berbeza di Semenanjung.

Semalam, pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang mana parti itu tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS), menolak ‘mentah-mentah’ idea ‘muafakat politik’ dengan PAS.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Sarawak tidak akan menerima fahaman PAS.

Ketua Penerangan PBB Idris Buang, berkata PAS harus terima hakikat ia tidak menyelami sanubari rakyat Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.