Pembahas PAS Perlis sedih pemimpin salam wanita tak diambil tindakan

Pembahas PAS Perlis sedih pemimpin salam wanita tak diambil tindakan

Saifizi Saidon kata dulu tokoh digantung keahlian hanya kerana berjoget.

Pembahas PAS dari Perlis, Saifizi Saidon, mahukan kesungguhan memperjuangkan integriti dan amanah. (Gambar Bernama)
TEMERLOH:
Seorang pembahas PAS dari Perlis menyatakan kesedihan mengenai kualiti pemimpin partinya, kerana tidak bertindak terhadap individu tertentu.

Mohd Saifizi Saidon berkata ada pemimpin yang bersalaman dengan wanita ‘berkali-kali’ tidak diambil tindakan, malah yang karaoke dipertahankan.

“Dalam sejarah PAS, tokoh seperti Hashim Gera digantung keahlian hanya kerana berjoget. Ini menunjuk betapa penting menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.

“Namun pada hari ini PAS semakin jauh dari asas tersebut. Terdapat pemimpin yang karaoke dipertahankan ulama PAS dan lebih lagi menyedihkan lagi ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena muktamar tahunan PAS.

Saifizi bagaimanapun tidak menamakan individu-individu berkenaan. Hashim Gera adalah Ahli Parlimen Parit daripada 1969 hingga 1974.

Dalam pada itu, Saifizi mendakwa PAS Perlis tidak terima laporan mengenai isu yang dihadapi Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli, sama ada daripada badan perhubungan negeri atau PAS pusat.

“Di mana kesungguhan kita perjuangkan integriti dan amanah,” soalnya.

Shukri pada 2 Mei lepas menegaskan beliau masih menteri besar walaupun wujud desakan letak jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Perlis melihat desakan berundur itu sekadar timbul dalam media sosial dan bukan di peringkat parti atau pentadbiran negeri.

Pada 23 Mei lalu, anak Shukri iaitu Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10.

Tuntutan berkenaan berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Pada 30 April, SPRM mengambil keterangan Shukri bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Fadhli Shaari pada sidang media berkata isu yang dihadapi Shukri ada dibincangkan di ‘pelbagai peringkat’.

“Mesyuarat ada pelbagai peringkat. Bila bincang di PAS pusat, keputusan akan diberikan kepada negeri,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.