Gelora Bersatu Perlis, timbalan tegur ketua ‘cepat melatah’ isu exco kerajaan

Gelora Bersatu Perlis, timbalan tegur ketua ‘cepat melatah’ isu exco kerajaan

Izizam Ibrahim menafikan dakwaan beliau 'menikam belakang' Abu Bakar Hamzah dalam soal pelantikan exco kerajaan Perlis.

Izizam Ibrahim berkata Abu Bakar Hamzah sepatutnya berbincang dengan mereka Adun Bersatu lain bukan melawan.
PETALING JAYA:
Timbalan ketua Bersatu Perlis menegur ketuanya sendiri selepas beliau mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kepimpinan Menteri Besar Shukri Ramli kerana tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

Izizam Ibrahim menyifatkan tindak-tanduk ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, ketika ini sebagai ‘melatah’.

“Dia cepat melatah. Sepatutnya dia kena jumpa dan bincang balik bersama-sama dengan kami Adun Bersatu,” katanya kepada FMT.

“Dalam keadaan itu dia macam nak berlawan semua.”

Izizam menafikan dakwaan beliau “menikam belakang” Abu Bakar dalam hal pelantikan exco kerajaan Perlis, menegaskan dirinya tiada hak untuk mempengaruhi keputusan menteri besar.

“Dia pun ada rujukan-rujukan di atas. Saya ini siapa? Menteri besar lagi berpengalaman dari saya. Dia tiga penggal (Adun) padahal saya hanya Adun baharu. Takkan seorang anak muda nak pergi nasihat dekat orang lama?,” katanya.

Izizam menasihatkan Abu Bakar, yang juga Adun Kuala Perlis, supaya bersabar dan menumpukan usaha membantu rakyat.

“Kadang-kala bab jawatan ini memang ada yang terkorban…ada yang dapat,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar mendakwa menteri besar Perlis membelakangkan syor Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin supaya melantik beliau sebagai exco.

Abu Bakar turut mendakwa Izizam dan seorang lagi pemimpin Bersatu Perlis ‘dalang’ dalam percaturan penolakan namanya untuk lantikan sebagai exco, menurut Berita Harian.

Perkembangan ini di sebalik majlis angkat sumpah exco hari ini, membabitkan tiga Adun Bersatu termasuk Izizam dan empat Adun PAS.

Abu Hamzah sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan berlaku ‘pergolakan dalaman’ dalam PAS Perlis membabitkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri.

Kenyataan itu menyusul peringatan Presiden PAS Hadi Awang supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.