
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam huraiannya kepada para perwakilan tadi menyatakan keahlian Adun atau Ahli Parlimen boleh terhenti serta-merta apabila menyertai atau menyatakan sokongan kepada parti atau pakatan politik yang tidak disokong PAS.
Turut diusulkan keahlian wakil rakyat PAS terhenti serta-merta apabila menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan parti.
Keahlian Adun atau Ahli Parlimen PAS juga akan terhenti sekiranya menjadi wakil rakyat bebas.
“Bila terhenti jadi ahli, dalam perlembagaan Persekutuan, yang mana dia bertanding atas itu, maka kerusinya mesti dikosongkan,” katanya semasa pembentangan di Muktamar Tahunan PAS ke-70.
Takiyuddin menambah Adun atau Ahli Parlimen PAS akan dianggap melakukan kesalahan ‘melompat parti’ sekiranya keahliannya dihentikan, terhenti, atau tercepat kerana perbuatan-perbuatan yang disebut.
FMT difahamkan usul diluluskan secara undian dengan sebulat suara.
Berdasarkan 1,325 perwakilan di muktamar kali ini, usul untuk diluluskan perlu disokong oleh sekurang-sekurangnya 883 ahli.