DHPP anjur mesyuarat agung tahunan pertama

DHPP anjur mesyuarat agung tahunan pertama

Sayap bukan Islam PAS itu diangkat jadi sayap bersekutu pada September tahun lepas, setara dengan sayap Ulama, Wanita dan Pemuda.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Idris Ahmad merupakan antara pemimpin tertinggi parti Islam itu yang menghadiri mesyuarat agung tahunan pertama DHPP di Pahang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya selepas diserapkan secara rasmi ke dalam parti itu sebagai sayap bersekutu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Annuar Musa berkata, konvensyen tersebut diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Pahang, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung parti, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Idris Ahmad, serta beberapa pimpinan lain.

Annuar berkata, penganjuran mesyuarat itu menunjukkan bahawa PAS bersikap ‘inklusif, sederhana, tiada perkauman dan toleran’ berlandaskan prinsip Islam.

“PAS dan Perikatan Nasional akan memastikan hak semua kaum dan agama terpelihara seperti mana di garis dalam perlembagaan negara.

“Malah ada keperluan untuk pembelaan hak kaum minoriti di pertingkatkan lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sayap penyokong bukan Islam itu diangkat menjadi sayap bersekutu pada September tahun lepas, memberikannya kedudukan yang setara dengan sayap Ulama, Wanita dan Pemuda.

Lebih 10,000 orang bukan Islam menganggotai PAS menerusi sayap ini, kata Takiyuddin sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.