Tak nak seksa dipenjara, warga Pakistan pancung majikan mohon kekal hukuman gantung

Tak nak seksa dipenjara, warga Pakistan pancung majikan mohon kekal hukuman gantung

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menggantikan hukuman mati mandatori dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan terhadap Syafaqat Ali Ghulam Nabi.

Warga Pakistan, Syafaqat Ali Ghulam Nabi dibawa ke Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang warga Pakistan memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana memancung majikan didakwa menghina agama kira-kira 13 tahun lalu.

Sebelum sidang khas Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar bermula, Syafaqat Ali Ghulam Nabi, 43, tiba-tiba bangun memohon hukuman gantung ke atasnya dikekalkan atas alasan tidak mahu lagi meringkuk dalam penjara.

“Saya tidak mahu masuk penjara lagi. Kalau gantung saya sakit sekali saja, lepas itu mati, tetapi dipenjara saya terseksa,” katanya menurut Sinar Harian.

Dia terlepas hukuman mati mandatori selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nordin Hassan.

Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki itu dijalankan dari tarikh tangkapan 24 Ogos 2011.

Peguam pemohon, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud kemudiannya mengemukakan hujah berkaitan masalah mental lelaki itu yang disahkan pakar Hospital Seberang Perai, Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abd Aziz memohon hukuman berat ke atas warga asing itu yang memancung majikannya.

Pada 25 Ogos 2015, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap Syafaqat yang bekerja di kebun tanaman pokok kemboja mangsa oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Harjit Singh Bachan Singh, 51, di Kampung Sungai Padang Sertik, Bentong pada 8.30 malam 23 Ogos 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.