Beritahu bagaimana suspek serang seksual budak boleh lolos, desak Ahli Parlimen

Beritahu bagaimana suspek serang seksual budak boleh lolos, desak Ahli Parlimen

Lim Lip Eng daripada DAP mahu pihak berkuasa menjelaskan kegagalan sistem keselamatan dan mendedahkan rakaman CCTV di Penjara Sungai Buloh.

banduan larikan diri Muhammad Hassan
Polis masih giat memburu warga Pakistan berusia 24 tahun, Muhammad Hassan, selepa lolos dari Penjara Sungai Buloh. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendesak penjelasan penuh pihak berkuasa mengenai bagaimana seorang tahanan bagi kesalahan seksual kanak-kanak lolos dari Penjara Sungai Buloh, semalam.

Pemimpin daripada DAP itu, berkata kejadian tersebut merupakan perkara serius memandangkan ia melibatkan individu berhadapan pertuduhan berat di sebuah fasiliti keselamatan tinggi negara.

“Tahanan ini berdepan kes jenayah serius. Bagaimana individu berisiko tinggi boleh meloloskan diri dengan begitu mudah? Adakah dia berjalan keluar tanpa disedari, memanjat tembok, atau bersembunyi di bawah lori untuk keluar seperti dalam filem Hollywood? Adakah wujud bantuan orang dalam atau luar?

“Rakyat tidak mahu alasan. Rakyat mahukan kebenaran dan bukti.

“Saya mendesak penjelasan penuh, pendedahan rakaman CCTV, dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuai,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, dalam perkara sebegini ketelusan bukan pilihan kerana berkait soal keselamatan rakyat dan kredibiliti negara.

Pihak polis masih giat memburu seorang warga Pakistan berusia 24 tahun, Muhammad Hassan, susulan tindakannya melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh.

Kali terakhir suspek dilihat adalah dengan memakai kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam.

Jabatan Penjara menyatakan lelaki itu melarikan diri daripada kawalan polis di kawasan penjara ketika sedang dipindahkan, selepas selesai urusan prosiding mahkamah di Mahkamah Shah Alam.

Suspek didakwa atas tiga pertuduhan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak, serta masing-masing satu pertuduhan bagi persetubuhan luar tabii, rompakan, dan memasuki negara secara haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.