
Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas peguam J Matthews yang mewakili jurutera, Fu Xiaoling, 40, artis opera Fu Xiaoyan, 37, perunding teknikal, Zhong Li, 27, pembantu akaun, Ai Xi, 31, model Huang Ting, 33, dan pemegang pas lawatan, Zhao Jinming, 26, membuat permohonan itu serta tiada bantahan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.
“Mahkamah membenarkan permohonan (penangguhan) itu dan menetapkan 2 Okt ini mendengar permohonan habeas corpus,” kata hakim.
Enam wanita itu memfailkan permohonan habeas corpus pada 9 Sept lepas, dengan menamakan ketua pengarah dan pengarah Jabatan Imigresen, menteri dalam negeri, komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.
Semua wanita itu memohon mahkamah membebaskan mereka serta-merta tanpa syarat daripada tahanan di bawah kawalan serta jagaan komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.
Menerusi afidavit sokongan, Matthews berkata, enam wanita itu ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah pusat hiburan 22 Ogos lepas dan selepas tamat tempoh reman, mereka diperintahkan diusir dari negara ini walaupun semua pemohon mempunyai visa sah ke Malaysia.
Beliau mendakwa pemohon yang juga pemegang pas kerja dan lawatan sah tidak disabitkan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman atas mana-mana kesalahan bersangkut tangkapan mereka sejak 22 Ogos lalu.
Justeru, katanya, perintah tahanan dan pengusiran ke atas pemohon itu bersifat pramatang, tidak disokong bukti kukuh serta penyalahgunaan kuasa dan tindakan melebihi peruntukan Akta Imigresen 1959/1963.