Ditahan bersama pistol dan dadah, bekas pembantu penyelidik dijangka didakwa esok

Ditahan bersama pistol dan dadah, bekas pembantu penyelidik dijangka didakwa esok

Terdahulu, media melaporkan bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther ditahan sejak Jumaat lalu untuk membantu siasatan atas dakwaan memiliki dadah dan pistol.

Rusdi Mohd Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata suspek kini direman enam hari bagi siasatan lanjut bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik yang direman enam hari bagi membantu siasatan atas dakwaan memiliki pistol dan dadah dijangka didakwa esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata suspek ditahan susulan penemuan dua pucuk pistol dipercayai tiruan dan satu ketulan mampat disyaki ganja dalam kenderaan dinaikinya di Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama enam hari bermula Sabtu lepas dan dijangka didakwa di mahkamah Kuala Lumpur esok,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, peguam Rafique Rashid dilaporkan berkata, anak guamnya yang juga bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther ditahan sepasukan anggota polis pada 9.30 pagi Jumaat lalu, susulan penemuan dua pucuk pistol dan dadah disyaki ganja seberat 350g dalam kereta dinaikinya.

Menurutnya, Yusoff sudah menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa pistol dan dadah itu bukan miliknya serta dia tiada kena-mengena dengan barangan terlarang berkenaan.

Katanya, ujian saringan air kencing anak guamnya juga negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.