
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Rusdi Abd Rahman berkata semua kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun itu dan seorang wanita 27 tahun yang juga ibu kepada salah seorang mangsa disyaki dijangkiti wabak Rotavirus.
Rusdi berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran pada Khamis lalu, menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi taman rekreasi itu.
“Siasatan lanjut yang dijalankan oleh PKD Maran mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun dilaporkan dalam wabak ini.
“Semua kanak-kanak terlibat adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, Maran manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati penyebab wabak ini adalah jangkitan Rotavirus yang kemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang.
Rusdi berkata, susulan kes itu pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang dinasihati menjalankan kerja pembersihan termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat.
“Orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut.
“Orang ramai juga dinasihati sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi,” katanya.