Restoran disiasat susulan dakwaan masak semula sisa makanan

Restoran disiasat susulan dakwaan masak semula sisa makanan

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed tindakan akan diambil jika dakwaan di media sosial iu benar.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pekerja restoran nasi kandar di Seremban mencuci dan mengasingkan sisa makanan dipercayai untuk dimasak sebelum dijual semula kepada pelanggan.
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menyiasat sebuah restoran nasi kandar di Seremban yang didakwa dalam satu video tular mencuci sisa makanan sebelum dimasak dan dijual semula kepada pelanggan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed, berkata beliau sudah arahkan pegawai berkaitan ke lokasi bagi menjalankan temu siasat selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, lapor Berita Harian.

“Jika dakwaan melalui media sosial ini benar, tindakan lanjut akan diambil. Orang awam juga dinasihatkan menggunakan medium yang betul untuk menyalurkan aduan,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial memaparkan video seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar dilihat mencuci sisa makanan dipercayai untuk dimasak semula terbongkar.

Pengguna media sosial yang membuat hantaran itu berkata dia melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu yang jelas lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang.

Pada mulanya, katanya pekerja lain cuba mengelirukannya dengan jawapan tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku makanan itu memang akan dimasak semula dan dikatakan tidak bahaya.

“Perkara itu amat tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.