
Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi, berkata pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah itu daripada waris keluarga Ahmad Azza Fahmi Azhar, pada 29 Ogos.
“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis dari IPD Tapah telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan di sebuah rumah di Masai, Johor pada 8 malam Khamis lepas.
“Polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang bekerja di sebuah kilang,” katanya dalam kenyataan.
Naim berkata, suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.
Dalam kejadian 17 Mei lalu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut.
Selain Azza Fahmi, 22, kejadian turut mengorbankan Muhamad Syafiq, 24 yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel dan kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada koperal pada 14 Jun lalu.
Terdahulu, dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama ‘Wan Qayyum’ dipercayai suspek menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.