
Muhyiddin berkata, projek itu pernah disiasat suatu ketika dahulu, namun tiada perkembangan dilaporkan.
“Sekarang timbul balik, apa sebab SPRM nak siasat, saya pun tak tahu, saya tidak terlibat langsung dalam sangkaan buruk itu … sebab berlaku sewaktu saya jadi menteri pendidikan.
“Wallahi, satu sen pun saya tak ambil,” katanya kepada pemberita di Kampung Bentong Luar, Kluang, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, projek itu dicadangkan untuk tender terbuka dan dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
Tambahnya, keputusan dibuat oleh perdana menteri merangkap menteri kewangan ketika itu, Najib Razak.
“Dia (Najib) yang pilih, jadi kenapa ada yang membabitkan saya… kontrak pun saya tak tengok dan apa-apa peruntukan projek itu disediakan oleh menteri kewangan.
“Ini ada pula cerita baharu berkenaan soal tuntutan palsu … saya tahu pun selepas baca surat khabar,” kata pengerusi Perikatan Nasional.
Kelmarin, SPRM menyita sejumlah dokumen berkaitan projek yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011 itu.
Pada 2019, menteri pendidikan ketika itu Maszlee Malik memutuskan untuk tidak menyambung kontrak YTL.
Dua tahun kemudian, beliau mendakwa Muhyiddin mendesak perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad supaya Maszlee meletak jawatan sebagai menteri pendidikan berkait kontrak tersebut.