
Menyifatkan ‘lompat parti’ sebagai perkara biasa dalam menzahirkan kebebasan bersuara menyokong mana-mana parti, pengerusinya Dr Yadzil Yaakub berkata dalam PN sendiri terdapat ahlinya yang ‘keluar masuk’.
“Tiada halangan kepada siapa-siapa nak bersama (PN) untuk ikut sama dasar yang kami tetapkan.
“Dalam parti kita sendiri pun ada keluar masuk parti. Dalam Umno pun ada keluar masuk parti dan nak kata kita terima katak, Umno pun ada terima si katak.
“Jadi bagi saya tak ada isu hal itu (terima masuk Norhizam),” kata Adun Bemban kepada FMT, mengulas hasrat bekas Adun DAP itu yang mahu menyertai pilihan raya akan datang di bawah PN.
Terdahulu, Norhizam mengakui mahu kembali aktif menerusi platform PN, selepas kalah pada PRN Melaka November 2021 atas tiket bebas di kerusi Pengkalan Batu, dimenangi ketika menjadi ahli DAP pada PRU14.
Beliau berkata hasrat itu juga mengambil kira pandangan penyokongnya yang mahu beliau aktif kembali memeriahkan sidang DUN seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, Yadzil berkata bagi seseorang yang sudah dilantik Adun atau Ahli Parlimen, mereka tidak boleh sesuka hati melompat menyokong pihak lawan kerana termaktub di bawah akta antilompat parti.
Melaka telah meluluskan akta berkenaan dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 yang menetapkan Adun yang keluar parti disertai ketika pilihan raya, perlu mengosongkan kerusi mereka.
“Kalau dia dah jadi sebagai calon, dia kena tetaplah pendirian,” kata Yadzil yang juga ketua pembangkang DUN Melaka.