
Mas Ermieyati menjelaskan, beliau tidak melepaskan jawatan itu, walaupun susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN, kerana ingin memastikan kestabilan organisasi peringkat negeri, termasuk persediaan menghadapi PRN Melaka.
“Keputusan untuk tidak meletakkan jawatan ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi, apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa. Sebaliknya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN pada peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan.
“PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting menghadapi PRN yang dijangka dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang. Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan.”
Mas Ermieyati bagaimanapun menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan disandangnya dalam PN sekiranya itu keputusan bersama yang akan dibuat secara matang berlandaskan kepentingan parti dan gabungan.
“Segala keputusan penting wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Mesyuarat Tertinggi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, ketua Wanita PN itu menegaskan hubungan antara kepimpinan PN Melaka ‘berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Perlis’.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak agar menghentikan sebarang polemik terbuka di media sosial melibatkan hubungan antara Bersatu dan PAS kerana ia tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan.
“Saya percaya rakyat sedang memerhati pertelingkahan terbuka yang seolah-olah tidak berkesudahan antara dua parti utama PN yang pasti akan menghilangkan rasa hormat dan harapan mereka untuk bersama PN sebagai pilihan kepada kerajaan Madani yang sememangnya telah menghampakan mereka,” katanya.
Semalam, Muhyiddin meletak jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa esok, diikuti Azmin Ali yang melepaskan jawatannya sebagai setiausaha agung PN dan pengerusi PN Selangor, selain Sahruddin Jamal, Hanifah Abu Baker, Ahmad Faizal Azumu dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yang masing-masing meletak jawatan sebagai pengerusi PN di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.