Syarikat import telur gagal dapat kebenaran mula prosiding komital terhadap Azmin

Syarikat import telur gagal dapat kebenaran mula prosiding komital terhadap Azmin

Pesuruhjaya kehakiman menolak permohonan itu atas alasan draf pernyataan saksi Azmin Ali selaku defendan belum diterima sebagai keterangan dalam mahkamah.

mohamed azmin ali
Azmin Ali disaman oleh J&E Advance Tech pada April 2023 kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan syarikat pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Azmin Ali.

Peguam Zarifah Zuhayra Zakaria berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong menolak permohonan itu atas alasan draf pernyataan saksi Azmin selaku defendan dalam kes itu masih belum diterima sebagai keterangan dalam mahkamah.

“Permohonan plaintif memulakan prosiding menghina mahkamah secara keseluruhan melibatkan isu kebolehterimaan draf pernyataan saksi Azmin, dari segi undang-undangnya bagi satu pernyataan saksi itu diterima di mahkamah, ia perlu melalui beberapa peringkat, dan proses itu masih belum dipenuhi semasa peringkat perbicaraan.

“Draf itu hanya ditunjukkan kepada Azmin bagi mengesahkan itu pernyataannya tetapi tidak melepasi peringkat lain, yakni ia perlu ditandatangan oleh Azmin.

“Walaupun pernyataan saksi itu telah difailkan sebelum ini, tetapi ia tidak melalui proses-proses yang sepatutnya, jadi ia kekal sebagai draf dan tidak pernah diterima sebagai keterangan dalam mahkamah,” katanya selepas prosiding dalam kamar hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, mahkamah turut menolak permohonan J&E Advance Tech untuk memanggil semula Azmin bagi pemeriksaan balas lanjutan dalam perbicaraan kes saman itu yang telah ditutup pada 17 Mei lepas.

“Kedua-dua permohonan itu ditolak dengan kos keseluruhan RM10,000,” kata peguam itu.

Mahkamah menetapkan 17 Sept untuk pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis dan 16 Okt untuk hujahan lisan.

J&E Advance Tech memfailkan notis permohonan komital itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 23 Mei lepas atas dakwaan Azmin membuat pernyataan palsu ke atas mahkamah dengan memfailkan pernyataan saksi defendan baharu pada hari kedua perbicaraan 17 Mei lepas, dengan niat menipu dan mengelirukan mahkamah serta pihak-pihak terlibat.

Syarikat itu mendakwa Azmin gagal mengemukakan alasan berkenaan kelewatan mengemukakan keterangan baharu pada hari kedua perbicaraan, sedangkan mahkamah mengarahkan pemfailan dokumen pra bicara pada atau sebelum 30 Dis 2023.

Bhavanash Sharma yang mewakili J&E Advance Tech selaku peguam mengesahkan pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan prosiding kes saman itu memandangkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap kedua-dua keputusan itu.

J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Azmin pada 12 April 2023 kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Syarikat itu mendakwa Azmin membuat dan menerbitkan ucapan memfitnah dalam ‘Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman’ di Taman Melewar pada 11 Mac 2023.

Kenyataan beliau kemudian diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik termasuk YouTube.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.