
Presiden Dominic Lau berkata pembangunan pesat Kuala Lumpur menyebabkan perubahan ketara bentuk muka bumi dan landskapnya, dan sebarang bencana alam boleh diurus dengan sistematik jika kawasan berisiko tinggi dikesan lebih awal.
“Insiden tanah jerlus adalah satu tragedi dan juga amaran yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India G Vijaya Lakshmi, 48, tertimbus selepas berlaku insiden lubang benam sedalam 8m di Jalan Masjid India. Setakat ini, mangsa masih belum ditemui.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selepas sembilan hari.
Zaliha dilapor berkata, operasi itu kini memasuki fasa ‘search and recovery’ (mencari dan pemulihan) selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Lau turut mencadangkan penggunaan sonar atau seismometer untuk tujuan pemetaan, melukis keadaan tanah di kawasan yang dianggap berisiko tinggi khususnya Kuala Lumpur.
“Penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan berlaku mendapan tanah ingin tahu sama ada tanah yang mereka duduki selamat atau tidak.
“Selagi mereka tak dapat jawapan yang jelas, penduduk di kawasan itu akan ragu-ragu terhadap keselamatan kediaman mereka,” katanya.
Menurutnya, PBT tidak boleh hanya tumpu kawasan pelancongan sahaja, sebaliknya mengkaji dan melaksanakan pemantauan berkala di seluruh negara.
“Ini untuk pastikan semua lubang di kawasan perumahan atau jalan raya di seluruh negara dapat dibaiki dengan segera, seterusnya mengurangkan semua risiko.”