
Fadhli berkata perobohan kuil yang dibina secara tidak sah itu telah dipersetujui tuan tanah dan dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.
“Kaji fakta kes terlebih dahulu sebelum keluarkan pandangan. Pertama, tanah itu ada pemilik yang sah dan tindakan dilakukan atas kebenaran, bahkan permintaan tuan tanah.
“Kedua, laporan kepada PBT telah dikeluarkan oleh tuan tanah dan surat telah dikeluarkan oleh PBT yang menegaskan tindakan perlu diuruskan oleh tuan tanah, dan proses itu telah berlaku bertahun-tahun,” katanya di Facebook.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata tindakan sama juga mungkin dilakukan Oh jika ada mana-mana pihak bertindak membuat binaan haram di atas milik peribadi pemimpin Gerakan itu.
“Soalan saya jika tanah anda, saudara Oh Tong Keong sendiri dicerobohi binaan haram, bolehkah anda bersabar walaupun sehari?” soal Fadhli.
Semalam, Oh berkata kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap empat individu meroboh kuil di Rawang, bagi mengelakkan amalan mengambil undang-undang sendiri menjadi kebiasaan.
Beliau berkata insiden itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menghina agama serta menyinggung perasaan penganut.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit.