Ketua kampung jadi ahli Pasukan Perlindungan Kanak-kanak

Ketua kampung jadi ahli Pasukan Perlindungan Kanak-kanak

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad, berkata cadangan itu supaya maklumat berkaitan kes penderaan dan pengabaian di kawasan kampung disalurkan.

Noraini Ahmad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memastikan cadangan itu direalisasikan.
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) akan menganggotai Pasukan Perlindungan Kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad, berkata cadangan itu supaya individu terbabit menyalurkan maklumat berkaitan kes penderaan dan pengabaian di kawasan kampung.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memastikan cadangan itu direalisasikan.

“Perkara itu masih dalam perbincangan, tetapi sudah di peringkat akhir sebelum ia dilaksanakan.

“Tetapi, kita ada satu program CBO, iaitu Organisasi Berasaskan Komuniti yang melibatkan semua ketua kampung dan penghulu secara langsung,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyempurnakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Peringkat Perak di Ipoh.

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya akan menyiasat segera sebarang aduan berkaitan tindakan mana-mana pihak didakwa mengeksploitasi kanak-kanak.

“Apa-apa isu berkaitan KPWKM di bawah akta yang bersesuaian, insya Allah akan diambil tindakan. Kita akan melihat satu persatu kes, tidak kira kes berkaitan apa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.