
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, dalam keadaan negara sedang menuju status masyarakat menua, kerajaan memerlukan model baharu untuk menjaga kebajikan warga emas.
“Kita memerlukan Pawe yang benar-benar berfungsi sebagai pusat sokongan menyeluruh kepada warga emas. Saya cadangkan agar Pawe di seluruh negara diubah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat.
“(Pawe) perlu jadi pusat yang berintegrasikan penjagaan harian bagi warga emas yang perlukan pusat kesihatan komuniti dengan pemeriksaan asas dan rawatan awal, kaunseling dan sokongan psikososial kerana semakin ramai warga emas yang kesunyian.”
Beliau menambah, sokongan psikososial itu juga penting untuk ahli keluarga bagi membantu mereka memahami keperluan warga emas, terutama yang berdepan tekanan mental dan tahap kesihatan yang merosot.
Dalam pada itu, Abdul Latiff turut menyarankan Pawe menyediakan kelas digital asas dan latihan bagi berdepan ‘scammer’.
“Ini perlu terutama (apabila) insiden penipuan kewangan melibatkan ramai warga emas,” tegasnya.