
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kaunselor Malaysia Sadli Osman, berkata walaupun undang-undang sedia ada melindungi kanak-kanak, ramai mangsa masih takut membuat laporan kerana bimbang tidak dipercayai atau dipersalahkan.
Katanya, hal ini lebih sukar apabila pelaku adalah individu yang rapat seperti ahli keluarga, penjaga atau individu dihormati di kalangan komuniti.
“Ramai kanak-kanak sebenarnya mahu mendapatkan bantuan, tetapi mereka takut dengan reaksi orang sekeliling. Mereka bimbang sama ada mereka akan dipercayai atau dilindungi,” katanya kepada FMT.
Menurut Sadli, kanak-kanak yang didera juga sering merasa malu atau bersalah walaupun mereka sebenarnya adalah mangsa, menyebabkan mereka memilih berdiam diri walaupun memerlukan pertolongan segera.
Beliau menegaskan usaha menangani penderaan kanak-kanak perlu melibatkan semua pihak, bukan hanya satu agensi kerajaan.
“Setiap laporan perlu diberi perhatian segera. Sekolah perlu ada sistem perlindungan, dan komuniti perlu menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak. Kita perlu benar-benar mendengar dan mempercayai mereka,” katanya.
Sadli berkata perubahan budaya ini perlu bermula di rumah, sekolah dan kawasan kejiranan — tempat di mana kanak-kanak paling banyak menghabiskan masa.
Beliau turut memuji inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seperti kempen ‘Awak OK Tak’ dan talian prihatin masyarakat Talian Kasih 15999 yang menyediakan sokongan emosi serta perkhidmatan kaunseling.
Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, senada dengan Sadli dan menekankan pentingnya mencipta suasana selamat bagi kanak-kanak untuk bercakap tanpa rasa takut atau dihukum.
“Jangan minta mereka ‘lupakan’ atau mempersoalkan tindakan mereka. Sebaliknya, beri mereka ruang dan sokongan. Beritahu anak, ‘Terima kasih kerana beritahu’ atau ‘Saya ada untuk kamu’,” katanya.
Sementara itu, data Disrupting Harm menunjukkan 4% kanak-kanak Malaysia berusia 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet telah mengalami bentuk penderaan atau eksploitasi seksual dalam talian dalam tempoh setahun lalu.
Kes termasuk ugutan untuk melakukan perbuatan seksual, penyebaran imej tanpa izin, serta dipujuk dengan wang atau hadiah untuk melakukan aktiviti seksual.