Bantuan tunai rentas kementerian lebih berkesan, ahli ekonomi jawab kritikan OECD

Bantuan tunai rentas kementerian lebih berkesan, ahli ekonomi jawab kritikan OECD

OECD menegur program pemberian tunai sedia ada yang dipecah-pecahkan dan diurus pelbagai agensi, membawa kepada ketidakcekapan seperti duplikasi manfaat dan pertindihan.

Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata lagi banyak agensi terlibat agihan bantuan tunai lagi berkesan kerana tanggungjawab dan fungsi setiap kementerian berbeza. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di sebalik kritikan sebuah badan antarabangsa terhadap program pemberian tunai di Malaysia, ahli ekonomi menggesa kerajaan meneruskan dasar penyaluran bantuan sosial, terutama subsidi merentasi pelbagai agensi bagi memastikan ia sampai kepada penerima sasaran.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menegur program pemberian tunai sedia ada yang dipecah-pecahkan dan diurus pelbagai agensi, membawa kepada ketidakcekapan seperti duplikasi manfaat dan pertindihan.

Badan antarabangsa itu turut merujuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara contoh program kerajaan gagal dari segi manfaat dan sasarannya.

Tetapi, Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata cadangan OECD tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia yang masih mengamalkan sistem ekonomi campuran, iaitu pemerintah terbabit pertumbuhan ekonomi dan perlu menguruskan bantuan kepada rakyat.

“Di negara maju, mereka amat menentang campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi. Tanggungjawab pemerintah hanya menentukan dasar dan membiarkan pasaran yang menentukan pertumbuhan ekonomi, tetapi sistem ekonomi Malaysia masih mengamalkan ekonomi campuran.

“Sebenarnya, lagi banyak agensi terlibat (dalam agihan bantuan), lagi berkesan kerana tanggungjawab dan fungsi setiap kementerian berbeza. Jika hanya diberikan kepada satu agensi atau kementerian, dibimbangi cakupannya (penerima) agak terhad,” katanya kepada FMT.

Menjawab kritikan OECD bahawa bantuan diterima penerima gagal dari segi kecukupan, Madeline berkata ia tidak dapat dielak memandangkan negara masih berdepan sumber kewangan terhad dan perlu membantu kumpulan rentan meliputi 40% penduduknya.

“Di negara maju, cukai mereka tinggi, jadi mereka boleh beri kemudahan, bantuan lebih baik kepada rakyat mereka…tetapi kita berdepan sumber yang terhad.

“Orang yang memerlukan ramai, jadi untuk pastikan seramai mungkin dapat dibantu, maka setiap penerima terima jumlah yang dianggap munasabah. Jika kita merungut (bantuan sedikit), tanya balik diri kita, mampukah bayar cukai tinggi seperti negara lain?”

Laporan OECD yang diterbitkan 27 Ogos itu turut mengesyorkan Malaysia mengehadkan pengeluaran awal dana persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meningkatkan umur pengeluaran awal, memandangkan pesara kini berdepan simpanan pencen tidak mencukupi.

Mengulas cadangan itu, Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata institusi dana pencen terbabit wajar mempertimbangkannya memandangkan had usia pengeluaran awal 50 tahun dianggap tempoh pencarum masih kuat untuk bekerja.

“Sepatutnya tabungan KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas mereka bersara sebab dana ini tujuan asalnya adalah tabung persaraan.”

Beliau turut berharap Pangkalan Data Utama (Padu) dibangunkan Kementerian Ekonomi dapat digunakan dalam masa terdekat bagi memastikan tiada kelompok tercicir dalam bantuan sosial.

“Kita harap dalam jangka pertengahan atau satu tahun ini kita dapat mencapai sambutan yang penuh, dengan itu kita boleh melakukan penilaian secara menyeluruh dan memberi subsidi serta bantuan kepada setiap individu, bukan melalui institusi berbeza seperti ketika ini,” katanya.

Padu dilancarkan Januari tahun ini, mengandungi maklumat isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap. Ia berperanan memastikan setiap individu layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.