
Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun cadangan itu mahu membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, ia tidak wajar kerana menjejaskan matlamat utama simpanan persaraan.
“Akaun 1 dan Akaun 2 diwujudkan untuk perlindungan masa depan. Memindahkan simpanan ini secara besar-besaran akan menghakis fungsi KWSP sebagai institusi keselamatan sosial,” katanya kepada FMT.
Selain cadangan itu, Shahidan pada Februari mencadangkan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2025 disalurkan sepenuhnya ke Akaun 3 bagi membantu pencarum membuat persiapan Aidilfitri.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata berdasarkan Akta KWSP 1991, sebarang agihan dividen tidak boleh dipindah atau disalurkan merentasi akaun.
Akaun 3 diperkenalkan pada 11 Mei 2024 bagi membolehkan pencarum bawah umur 55 tahun mengeluarkan wang pada bila-bila masa untuk keperluan kecemasan.
Sebahagian caruman bulanan akan disalurkan ke akaun ini, yang memberikan dividen dan pengeluaran minimum ditetapkan pada kadar RM50.
Barjoyai menambah langkah itu juga berisiko mengulangi kesan negatif pengeluaran khas semasa pandemik Covid-19, yang menyebabkan lebih lima juta pencarum kini mempunyai simpanan rendah atau sifar.
Dari sudut makroekonomi, Barjoyai berkata pemindahan itu mungkin meningkatkan kecairan tunai dan perbelanjaan isi rumah dalam jangka pendek, namun berisiko menambah tekanan inflasi ketika harga bahan api melonjak.
“Ia hanya merawat simptom, bukan punca sebenar inflasi yang berpunca daripada kejutan kos,” katanya, sambil menambah kesan jangka panjang termasuk peningkatan kemiskinan usia tua dan beban fiskal kerajaan.
Menurutnya, langkah itu juga boleh menjejaskan pasaran modal domestik memandangkan KWSP merupakan pelabur institusi utama dalam bon kerajaan dan ekuiti tempatan.
Beliau berpandangan pendekatan lebih berkesan ialah subsidi bersasar seperti BUDI95 yang membantu mengekang kos bahan api secara menyeluruh tanpa menjejaskan simpanan masa depan rakyat.
“Tekanan kos sara hidup perlu ditangani melalui dasar lebih mampan seperti subsidi bersasar dan peningkatan pendapatan sebenar, bukan dengan mengorbankan simpanan hari tua,” katanya.
Sementara itu, Abu Sofian Yaacob dari Kolej Universiti i-CATS berkata pendekatan lebih seimbang perlu diambil, iaitu tidak menolak sepenuhnya cadangan tersebut sebaliknya dilaksanakan secara bersasar mengikut kumpulan paling memerlukan.
“Cadangan ini boleh memberi kelegaan segera kepada pencarum yang terdesak akibat kenaikan harga petrol dan makanan, selain menggunakan wang sendiri tanpa menambah beban hutang kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengeluaran tambahan berisiko menjejaskan tujuan asal KWSP sebagai simpanan persaraan, khususnya Akaun 1, dan boleh menyebabkan ramai rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi pada usia tua.
“Dalam jangka panjang, risiko lebih besar ialah krisis persaraan, selain menjejaskan pelaburan institusi dan meningkatkan beban kerajaan pada masa depan.
“Justeru, pendekatan terbaik ialah gabungan dasar seperti pengeluaran KWSP yang terhad dan subsidi bersasar,” katanya.