
Timbalan setiausaha agung GRS berkata ia perlu dipertimbang dalam mendepani PRN Sabah akan datang.
Katanya, meskipun GRS adalah gabungan parti tempatan, ia perlu menilai pendirian dan sokongan rakyat yang dibela dalam membuat sebarang keputusan antaranya parti untuk bekerjasama.
Beliau berkata, justeru selagi mana wujud parti nasional yang mendapat sokongan besar rakyat di Sabah yang boleh dilihat antaranya dalam pilihan raya sebelum ini, maka GRS perlu membuka ruang untuk bekerjasama bagi membentuk kestabilan politik.
“Apapun saya tegaskan di sini semua kerjasama ini bergantung kepada kesepakatan dan keputusan pihak pimpinan pusat GRS,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di Kudat.
Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata, teras kerajaan negeri itu seharusnya parti tempatan yang merupakan antara tiga prinsip utama perlu diletakkan GRS dalam menilai kerjasama dengan parti politik lain.
Menurutnya, mana-mana parti yang bersama membentuk kerajaan negeri juga perlu bersetuju untuk meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai teras hala tuju dan agenda kerajaan negeri.
Kerjasama itu juga, katanya harus dibina atas keyakinan antara satu sama lain sebagaimana kebersamaan dalam kerajaan negeri hari ini apabila Pakatan Harapan tampil secara ikhlas menyokong GRS kekal menerajui kerajaan negeri.
Parti komponen GRS terdiri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Parti Maju Sabah (SAPP) pada PRN Sabah sebelum ini bertanding menggunakan lambang GRS, namun menyokong gabungan itu walaupun kekal sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).