Wira insiden Balai Polis Ulu Tiram ikrar terus berbakti demi negara

Wira insiden Balai Polis Ulu Tiram ikrar terus berbakti demi negara

Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa mengambil iktibar daripada insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram yang menyuntik keazamannya untuk terus berkhidmat kepada negara.

Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Peluang memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 menterjemahkan semangat Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa yang tidak pernah gentar untuk terus berbakti menjaga ketenteraman awam, walaupun melalui “detik hitam” sebagai anggota polis.

Wira insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor berusia 23 tahun itu berkata, peristiwa tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi penyuntik keazaman untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

“Saya mengambil iktibar daripada kes tembakan di Ulu Tiram. Ia menjadi pembakar semangat kerana saya tidak boleh lemah. Apa pun yang berlaku, saya mesti maju ke hadapan dan tidak boleh berpaling ke belakang.

“Walaupun sedih kehilangan kawan (dalam insiden tersebut), tetapi itu tidak boleh mematahkan semangat saya. Itu pengorbanan mereka untuk negara tercinta ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Dataran Putrajaya.

Khairul Azhar mengakui sangat berbangga dengan jemputan pengurusan Bukit Aman yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin bacaan ikrar Rukun Negara dalam sambutan penting negara.

“Sejujurnya, dalam gembira ada juga rasa gemuruh. Namun, Alhamdulillah, saya beranikan diri untuk mengambil cabaran ini dan mula berlatih sejak seminggu lalu,” katanya yang bertugas di balai polis di Sabah sejak 16 Julai lalu.

Beliau turut mengucapkan penghargaan atas peluang memimpin bacaan ikrar itu yang disertai 66 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.

Insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mengorbankan dua anggota polis, iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang merampas dua senjata api daripada anggota polis.

Seorang lagi anggota keselamatan, Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38, cedera akibat ditembak, manakala lelaki yang juga suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.

Khairul Azhar bersama Hasif dan Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, merupakan anggota polis yang bergadai nyawa menjaga keselamatan serta ketenteraman awam ketika serangan di balai polis terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.