
Reuters memetik Channel 4 melaporkan, Dyson menghentikan tuntutannya berhubung program terbitan ITN itu, dua tahun selepas ia menyiasat keadaan dahsyat di kilang-kilang Malaysia yang membuat produk Dyson.
Menurutnya, keputusan itu ‘menggariskan peranan penting pelaporan penyiasatan bebas yang mantap, jelas dibuat demi kepentingan awam dan menetapkan duluan penting untuk masa depan kewartawanan penyiasatan di UK’.
Sebagai respons, Dyson menafikan dengan keras dakwaan Channel 4 News yang menurutnya palsu.
Katanya, pembekalnya, iaitu pengeluar bebas ATA IMS, yang sepatutnya menjawab tentang layanan terhadap pekerjanya di Malaysia.
Dyson berkata, pihaknya tidak lagi mempunyai kaitan dengan ATA IMS sejak 2021.
Syarikat itu tidak akan membenarkan pekerja di mana-mana sahaja dilayan dengan buruk, dan akan mempertahankan reputasinya apabila perlu, katanya.
Dyson memfailkan saman libelnya terhadap Channel 4 di Mahkamah Tinggi London pada Julai 2023.
Laporan Channel 4 pada Februari 2022 mendedahkan kebanyakan pekerja asing bekerja sehingga 15 jam sehari, sering dihalang bercuti untuk memenuhi permintaan, dan dilatih menyembunyikan keadaan pekerjaan dan kehidupan sebenar daripada pemeriksa buruh dan Dyson.
Para pekerja berkata, mereka membayar fi berjumlah gaji beberapa bulan kepada ejen yang bekerja untuk kilang itu.
Sebagai ganti, mereka diberikan visa dan diterbangkan ke Malaysia untuk bekerja, namun mendakwa mendapati diri mereka terbelenggu dengan hutang dan dibayar bawah paras gaji minimum, kadangkala kurang USD10 (RM46) sehari.
Ramai berkata, mereka terpaksa meminjam wang daripada lintah darat.
Menurut pekerja-pekerja asing ini, pasport mereka disimpan sepanjang tempoh mereka bekerja, menyukarkan mereka mencari pekerjaan lain lalu terperangkap bekerja di kilang itu.
Mereka juga mendakwa, waktu bekerja minimum mereka ialah 12 jam sehari, tetapi dipaksa bekerja sehingga 18 jam tanpa rehat, selain tidak dibenarkan mengambil cuti tahunan.
Visa kerja mereka juga dibenarkan luput, menjadikan mereka pendatang tanpa izin dan mereka hidup dalam ketakutan, bimbang ditangkap.
Mereka mendakwa terpaksa membayar sewa untuk tinggal di asrama besar yang didiami sehingga 80 orang, tidur di katil bertingkat di dalam satu bilik, dengan pengudaraan yang buruk serta kemudahan sanitasi yang kotor dan rosak.
Mereka juga mendakwa, Dyson mengetahui situasi itu sejak November 2019 apabila mereka dimaklumkan oleh pemberi maklumat Andy Hall.