Umno sukar elak guna kaum, agama dalam politik, kata penganalisis

Umno sukar elak guna kaum, agama dalam politik, kata penganalisis

Penganalisis berkata parti itu akan berdepan cabaran sukar bersaing dengan PAS dan Bersatu tanpa menggunakan isu tersebut dalam strategi politiknya.

PAU
Sabtu lalu, Naib Presiden Khaled Nordin dalam Perhimpunan Agung Umno berkata mereka tidak perlu lagi bergantung kepada isu kaum dan agama untuk meraih sokongan.
PETALING JAYA:
Umno tidak boleh mengelak penggunaan isu kaum dan agama dalam politiknya bagi meraih sokongan orang Melayu, walaupun seorang pemimpinnya menyifatkan ia strategi ketinggalan zaman, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Umno akan berdepan cabaran sukar bersaing dengan PAS dan Bersatu tanpa menggunakan dua isu itu dalam strategi politiknya.

Azmi memberitahu FMT, pemikiran orang Melayu ialah mereka akan mengundi pihak yang mampu melindungi kepentingan mereka, iaitu hak agama dan kaum.

“Dan seperti yang saya lihat, sebab utama Umno kehilangan sokongan disebabkan orang Melayu tidak nampak parti itu mampu melindungi hak mereka. PAS pula menggunakan isu kaum dan agama untuk menarik bekas penyokong Umno.”

Chin berkata, jika Umno tidak lagi menggunakan isu kaum dan agama dalam politik, parti itu tiada apa-apa untuk diperjuangkan.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu berkata, menggunakan isu bangsa dan agama demi meraih sokongan demografi tertentu adalah strategi politik ketinggalan zaman.

Katanya, Umno tidak patut bergantung kepada isu kaum dan agama untuk meraih sokongan, sebaliknya perlu fokus mengarusperdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu serta meneruskan agenda itu dengan penuh keikhlasan.

Chin bagaimanapun berkata, kaum dan agama adalah penggerak politik di Malaysia, justeru ia tidak akan ketinggalan zaman.

“Selagi parti politik menggunakan isu kaum dan agama untuk menggerakkan penyokong mereka dan kemasukan ke agensi kerajaan berdasarkan faktor ini, tiada cara menyingkirkan kaum dan agama dalam politik Malaysia.”

Beliau memberi contoh parti seperti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat yang mengambil pendekatan pelbagai kaum, gagal berbuat demikian.

“Jadi, bukannya kita tidak pernah mencuba, tetapi nampaknya rakyat Malaysia belum bersedia untuknya.”

Azmi berkata, Umno perlu mengambil pendekatan lebih sederhana dengan mencontohi cara era Barisan Nasional menggunakan kaum dan agama, di mana dasar mereka bukan saja menyokong orang Melayu, tetapi juga kaum lain, hasil kerjasama dengan MCA serta MIC.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, Umno boleh melaksanakan dasar sederhana yang menguntungkan orang Melayu, Bumiputera dan Islam melalui kementerian kritikal tanpa mengorbankan kumpulan lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.