Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027

Temasya sukan terbesar rantau ini akan melibatkan Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang, selain Kuala Lumpur.

sukan sea
Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang menyatakan kesediaan guna peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju menerima tawaran menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.

Kementerian Belia dan Sukan, berkata keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama tiga negeri lain.

“Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (Sukma) yang telah berjaya mengendalikan penganjuran temasya berakhir pada 24 Ogos lalu dengan jayanya.

Pada 26 Ogos, Berita Harian melaporkan, Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 diadakan di Bandaraya Kuching selaku penganjur bersama temasya sukan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkara itu telah dibawa ke Jemaah Menteri kerajaan persekutuan untuk diputuskan.

Beliau berkata, pembahagian venue sukan akan turut dibincangkan dengan 18 daripada 36 acara sukan dicadang diadakan di Kuching.

Abdul Karim berkata, keputusan untuk menganjur Sukan SEA di beberapa bandar lain di Malaysia disifatkan mampu memberikan manfaat ekonomi dari segi peningkatan pelancongan dan perbelanjaan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.