Atlet wanita Muslim Terengganu sertai acara terjun Sukma, persatuan mohon maaf

Atlet wanita Muslim Terengganu sertai acara terjun Sukma, persatuan mohon maaf

Toh Chin Yaw berkata salah faham berlaku berkait kod etika berpakaian yang dianggap 'perkara biasa' kerana diseragamkan di peringkat antarabangsa.

Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan isu penyertaan atlet wanita dalam acara terjun pada Sukma selesai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Renang Amatur Terengganu tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita Muslim bertanding dalam Sukma 2024.

Presiden Toh Chin Yaw berkata salah faham berlaku berkait kod etika berpakaian yang dianggap ‘perkara biasa’ memandangkan pemakaian bagi acara terjun diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan.

“Kami salah faham tentang isu kod pakaian, kami ingat ia biasa sahaja kerana ia diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan, sehingga menjadi isu baru kami sedar kesilapan kami.

“Pengurus pasukan selalu berbincang dengan exco kerajaan negeri dan isu mengenai pakaian sering ditekankan, kami fikir pakaian yang telah ditetapkan badan renang negara dan dunia itu tiada masalah,” katanya menurut portal berita kerajaan Terengganu, TRDI.my.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Exco Sukan dan NGO Hishamuddin Abdul Karim, di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Kuala Terengganu.

Toh berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat itu.

“Sebelum ini kita telah banyak kali berjumpa dengan MSNT dan berbincang tentang syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam pertemuan sebelum ini juga, kita memohon untuk menghantar atlet-atlet ini ke Sukma, kerana mereka telah lama berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara melalui persatuan,” katanya.

Beliau menjelaskan penyertaan dalam Sukma 2024 di Sarawak dibuat atas inisiatif persatuan sendiri, sambil kos ditanggung turut ditanggung ibu bapa atlet.

Dalam pada itu, Pengurus Sukan Terjun Foo Wai Choo mengakui Hishamuddin sudah melarang pihaknya menghantar atlet terjun wanita beragama Islam ke Sukma kerana menyalahi kod etika pakaian.

“Selepas ini kami akan cuba untuk mencari bakat daripada kalangan bukan Islam sebagaimana dibenarkan kerajaan negeri,” katanya.

Polemik selesai

Sementara itu, Hishamuddin menyifatkan isu penyertaan atlet wanita dalam acara terjun pada Sukma selesai.

“Kenapa perlu kepada polemik? Yang lemah kita perbaiki segera, yang baik kita teruskan,” katanya di Facebook.

Katanya, beliau memahami situasi mereka sebagai bukan Islam untuk memahami tatacara kehidupan warga Muslim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.