
Menurut Anwar, beberapa wakil rakyat diketahui menandatangani lebih daripada satu akuan berkanun (SD) selepas PRU15, manakala yang lain menyerahkan sepenuhnya kepada ketua parti masing-masing.
“Setakat yang saya faham, pandangan raja-raja dan peguam negara masa itu, yang dilantik oleh Muhyiddin Yassin, mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Itu kenyataannya. Jelas. Saya elak (ulas) sebelum ini tapi dia jaja (isu) 115 (Ahli Parlimen),” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Penchala, sebelum solat Jumaat.
Muhyiddin pada Rabu menyerahkan beberapa dokumen termasuk 115 SD berkenaan kepada polis selepas disoal siasat mengenai ucapannya semasa kempen PRK Nenggiri yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).
Pengerusi Perikatan Nasional itu disiasat susulan penularan video ucapan yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, sambil mempersoalkan mengapa beliau tidak diundang menghadap baginda untuk dilantik perdana menteri.
Muhyiddin menegaskan ucapannya itu hanya kenyataan fakta.
Presiden Umno, Zahid Hamidi, mendedahkan bahawa 10 Ahli Parlimen berkenaan menandatangani dua SD, iaitu menyokong Barisan Nasional dan juga Muhyiddin itu.