Pemimpin PKR Sabah nyah dakwaan jadi penghalang kerjasama

Pemimpin PKR Sabah nyah dakwaan jadi penghalang kerjasama

Seorang pemimpin persoal asas dakwaan yang bersandarkan ketidakhadiran pemimpin Warisan di Himpunan Perdana Rakyat.

Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu pada 4 Ogos lalu meraikan 25 tahun penubuhan PKR Sabah dan dihadiri pemimpin PH, GRS, dan Umno Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sumber dalam PKR Sabah mengenyahkan dakwaan parti itu menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno bagi menghadapi PRN akan datang.

Semalam, Utusan Malaysia memetik sumber Warisan yang berkata mereka menganggap PKR boleh menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno, sebab Presidennya, Shafie Apdal, tidak diundang ke Himpunan Perdana Rakyat.

Acara di Kota Kinabalu itu, yang diadakan pada 4 Ogos lalu, meraikan 25 tahun penubuhan PKR Sabah dan dihadiri pemimpin Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah, dan Umno Sabah.

Seorang pemimpin kanan PKR Sabah bagaimanapun berkata pimpinan Warisan diundang ke acara tersebut.

“PKR Sabah telah hantar surat untuk mengundang semua pemimpin parti cuma mereka yang tidak hadir,” katanya kepada FMT.

Beliau juga mempersoalkan asas kepada dakwaan ini.

“Dakwaan mengatakan PKR menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno adalah tidak berasas sama sekali, lebih-lebih lagi dengan hanya bersandarkan ketidakhadiran pemimpin Warisan pada Himpunan Perdana Rakyat tempoh hari,” katanya.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan dan PRN17 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Desas-desus kerjasama Warisan dan Umno untuk berdepan PRN mula bertiup sejak Disember lalu susulan kehadiran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan.

Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun pada Jun mendedahkan Umno belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan Umno Sabah belum pun bermesyuarat mengenai isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.