
Terdahulu, sesi penggulungan Pemuda gamat apabila ketuanya, Dr Akmal Saleh mengusulkan ketua Pemuda Kluang itu dipertimbangkan sebagai calon BN pada PRK Mahkota, 28 Sept.
Di dewan berbeza, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad turut mengusulkan calon dari sayap itu diberi peluang mempertahankan DUN Mahkota bagi meneruskan legasi penyandang Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
“Saya jarang mengusulkan calon, tetapi kalau kita usulkan calon itu memang kita rasakan calon paling baik untuk rakyat di kawasan berkenaan seperti kita menang di PRK DUN Nenggiri,” kata Akmal.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pada PRK Nenggiri, Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti 3,352 undi, sekali gus merampas kawasan itu daripada Perikatan Nasional.
Akmal bagaimanapun berkata, sayap itu akur sekiranya calon yang diketengahkan tidak dipilih, malah akan tetap mengatur strategi untuk menawan undi anak muda Mahkota.
“Siapa yang dipilih kita akur tapi pendirian Pemuda Umno jika diberikan kerusi ini maka kita sudah ada calon kita tersendiri.
“Apa sekalipun kita akan akur pada pimpinan parti kerana sudah pasti nanti calon Umno adalah calon terbaik,” katanya.
Kerusi Mahkota kosong susulan kematian Sharifah, 63, akibat pendarahan dalaman di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Beliau menang kerusi itu pada PRN 2022 dengan majoriti 5,166 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, dan Warisan.